3 Perkara Perlu Ada Pada Jurufoto Muda Untuk Masuk Ke Dunia Fotografi Makanan
- Nazreen Izahar
- Jan 8, 2021
- 2 min read
Kata orang, sebuah gambar mampu menceritakan 1000 makna. Malah ada juga yang mengatakan sebuah gambar mampu menceritakan pelbagai kisah disebaliknya. Bagi sesebuah gambar yang menjadikan makanan sebagai subjek, satu gambar boleh memberikan sejuta rasa kepada mata yang melihat.
Dunia fotografi makanan, seperti cabang fotografi lain yang ada di dunia ini mampu meninggalkan kesan kepada mata-mata yang melihat gambar tersebut. Hal ini kerana, apabila lensa kamera bertemu dengan makanan yang dibuat oleh tukang masak maka tercipta sebuah gabungan yang indah di mata dan mampu menggiurkan sesiapa saja.
Itulah tugas yang dilakukan oleh Shah Affendy Sallehudin, 32, yang berasal dari Segamat, Johor. Sejak dari 2012, Shah sudah melibatkan diri dalam dunia fotografi makanan dengan misi beliau hanya satu – menaikkan selera sesiapa saja yang memandang gambarnya.
Tampak mudah bukan? Tetapi ianya memerlukan tiga perkara yang perlu dikuasai terutamanya oleh jurufoto muda yang mahu memasuki alam fotografi.

Kini sudah lapan tahun menceburi bidang fotografi, Shah sudah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam menjadi seorang jurufoto makanan. Jelas sekali, ianya menjadikan Shah seorang jurufoto yang matang dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai cabang fotografi.
Seperti jurufoto lain, Shah juga bermula dari bawah. Perjalanannya selama lapan tahun mengajar beliau tiga perkara – rajin berlatih, jangan malu bertanya dan kreatif.
Shah menasihatkan kepada mereka yang mahu menceburi bidang ini mereka haruslah rajin berlatih menangkap gambar makanan. Dengan wujudnya Internet, jurufoto muda boleh menggunakan YouTube sebagai rujukan untuk mempelajari dan mendapatkan idea.
Satu perkara yang Shah mahu jelaskan adalah yang di dalam dunia fotografi, jurufoto muda tidak sendirian kerana dalam ramai jurufoto senior bersedia untuk mengajar dan memberikan nasihat kepada mereka. Mereka lebih dari rela untuk berbuat demikian kata beliau.
Kreatif bukanlah terhad kepada teknik gambar itu diambil, tetapi juga untuk penggunaan alatan barangan untuk melakukan penggambaran. Shah berkata, jurufoto muda tidak perlu gopoh dalam mendapatkan alatan yang lengkap.
“Gunakan apa yang ada dulu, jangan gopoh. Contohnya, tiada masalah untuk menggunakan kamera crop sensor yang murah serta memakai lensa 50mm. Jika tiada wang yang cukup, boleh gunakan kertas putih sebagai reflector dan tripod untuk dapatkan hasil terbaik,” ujar Shah.
Selain fotografi makanan, Shah turut melakukan penggambaran dalam fotografi berasaskan automotif, produk dan juga acara. Kini, beliau mahu mengembangkan bakatnya dalam bidang videografi pula.
KREDIT GAMBAR: Shah Affendy
Comments