Apa yang empat sekawan ini? Empat sekawan ini ialah rempah yang sering orang ramai menggunakannya. Asalnya mereka adalah tiga sekawan iaitu Kayu manis (Cinnamon), Bunga Lawang (Star Anise) dan di tambah dengan Buah Pelaga (Cardamon), itu yang menjadikan mereka digelar sebagai empat sekawan. Ia adalah rempah-rempah utama yang paling asas. Jadi selepas ini, kalau jumpa resipi yang menyebut rempah empat sekawan, inilah bahan-bahannya. Biasanya rempah ini digunakan dalam penyediaan sup dan masakan berempah.
Bunga Cengkih
Bunga cengkih mempunyai rasa yang tajam, kuat, manis, berangin, pahit dan kelat. Baunya paling menusuk antara rempah-ratus yang lain hingga meninggalkan kesan kebas di dalam mulut. Walau bagaimanapun, Bunga cengkih sesuai dibeli dalam bentuk asalnya kerana bentuk serbuk menyebabkan rasanya cepat hilang. Kisaran bunga cengkih selalunya digunakan dalam membuat kek. Bunga cengkih juga, digunakan dalam masakan nasi beriani dan sering digunakan dengan jintan putih dan kulit kayu manis. Namun, bagi menentukan kualiti bunga cengkih yang bagus, masukkannya ke dalam secawan air. Bunga cengkih yang elok akan terapung secara menegak manakala yang tidak elok akan tenggelam atau terapung secara mendatar.
Bunga Lawang
Bunga Lawang adalah salah satu bahan dalam lima rempah serbuk Cina. Ia digunakan sama ada dalam bentuk asal atau hanya bahagian-bahagian untuk menambah rasa ke dalam masakan daging dan ternakan lain yang direneh lama untuk menghasilkan aroma yang kuat. Bunga lawang kisar digunakan dalam masakan salai untuk menguatkan aroma masakan tersebut. Ia juga digunakan dalam masakan kari, dan minuman teh. Bunga lawang dipercayai dapat membantu menghadamkan makanan serta melegakan sakit dada, sakit senggal tulang dan kembung perut.
Kulit Kayu Manis
Kulit kayu manis adalah pemanas badan. Minyaknya adalah sebagai penawar untuk menghapuskan rasa tidak hadam. Ia merupakan campuran rempah-ratus yang digunakan dalam resipi masakan hampir tiga suku penduduk dunia. Ia juga digunakan untuk menumis, menambah wangian pada air gula, membuat “cinnamon roll” dan pai epal serta wangian. Tambahan pula, pengambilan setengah sudu serbuk kayu manis setiap hari atau merendam sepotong kulit kayu manis ke dalam minuman teh dapat menurunkan panas gula dalam darah pesakit diabetis.
Buah Pelaga
Buah pelaga cukup dikenali sebagai rempah-ratus empat sekawan dalam masakan dan secara tradisional ia dikunyah bersama sirih pinang. Buah pelaga juga adalah rempah ketiga paling mahal di dunia dan dianggap sebagai Ratu Rempah. Ia juga mempunyai aroma manis dan rasa yang sedikit pedas.Tambahan pula, minyak patinya diperolehi dari biji melalui penyulingan stim. Hampas minyak dan damar digunakan dalam pemprosesan makanan, minuman beralkohol dan minyak wangi. Buah Pelaga dipercayai dapat membantu mengeluarkan angin dari perut dan usus selain melawaskan haid serta air kecil.
Comments