top of page

Pembelian Panik 'Norma Baharu' Berdepan Pandemik

  • Nov 23, 2020
  • 4 min read

Updated: Jan 11, 2021

Penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sehingga ke hari ini telah memberikan kesan jangka panjang yang cukup besar kepada kesihatan dan aktiviti harian masyarakat di negara ini. Pelbagai alternatif dan langkah pencegahan diambil oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ini termasuklah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal dan mengehadkan pergerakan rakyat di seluruh negara.


Situasi di luar jangka yang berlaku ini telah menimbulkan perasaan panik dan gelisah dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan ini secara tidak langsung telah mendorong kepada berlakunya pembelian panik oleh segelintir anggota masyarakat yang tamak dan pentingkan diri dengan memborong barangan makanan dan keperluan asas secara berlebih-lebihan dalam kuantiti yang banyak.


Hal ini adalah disebabkan oleh perasaan takut dan panik yang mempengaruhi pemikiran sehingga mengakibatkan masyarakat bertindak di luar kawalan dan batas norma masyarakat. Pembelian panik yang dilakukan bakal memberi impak yang cukup besar kepada ekonomi rakyat dan menjejaskan golongan yang benar-benar memerlukan barangan keperluan asas tersebut.


Masyarakat terdedah kepada manipulasi pasaran

Menurut sebuah laporan akhbar tempatan, pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Md Yusof Saari dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pembelian panik yang berlaku boleh memudaratkan situasi ekonomi semasa. Hal ini demikian kerana pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh sebahagian besar pengguna dalam satu-satu masa akan mendedahkan pengguna kepada manipulasi pasaran. Permintaan terhadap barangan keperluan asas yang meningkat secara drastik dan pengeluaran yang terhad akan menyebabkan harga barangan keperluan asas meningkat berlipat kali ganda dan membuka peluang kepada berlakunya manipulasi pasaran.


Segelintir peniaga atau peruncit gemar mengambil kesempatan dengan menyorokkan barangan keperluan asas dan menjual semula barangan keperluan asas tersebut dengan harga yang tinggi. Manipulasi harga ini menyebabkan rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membeli barangan keperluan tersebut dengan harga jauh lebih mahal berbanding harga asal sesuatu barangan itu. Peningkatan harga barangan yang tidak terkawal juga boleh menjejaskan aliran tunai isi rumah. Setiap isi rumah perlu bijak menguruskan perbelanjaan dan tidak berbelanja secara berlebih-lebihan ekoran keadaan ekonomi negara yang berada di tahap sangat membimbangkan. Peningkatan harga barangan juga perlu dielakkan tatkala ketika rakyat sedang berdepan dengan kekangan kewangan yang serius dalam era pandemik.


Pada masa yang sama, kesan pembelian panik yang dilakukan oleh segelintir anggota masyarakat juga akan menjejaskan peluang orang lain untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang normal, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Manipulasi pasaran yang berlaku ini secara tidak langsung menghumban golongan berpendapatan rendah ke suatu tahap kemiskinan yang melampau disebabkan sukar mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang sepatutnya. Dalam erti kata yang lain, tindakan melakukan pembelian panik ini seumpama merompak hak golongan yang berpendapatan rendah terhadap keperluan asas.


Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus sehingga 5.5 peratus tahun ini dan dianggarkan hampir 1 juta rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan sepanjang tahun 2020 berikutan impak penularan pandemik Covid-19. Golongan berpendapatan rendah ini bakal menjadi golongan yang paling terjejas akibat daripada pandemik Covid-19 bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan juga ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian semua pihak termasuk rakyat Malaysia perlu bersatu hati memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan sebarang bentuk pembelian panik dilakukan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Suasana panik yang sempat dirakam di sebuah pasaraya di Johor Bahru. Foto: Johor Press


Pembaziran makanan ketika pandemik

Secara purata rakyat Malaysia membuang satu kilogram makanan sehari dan jumlah itu bertambah saban tahun. Antara punca utama penghasilan sisa makanan yang tinggi ialah membeli makanan secara berlebihan, penyimpanan makanan tidak sempurna dan faktor gaya hidup mewah. Berdasarkan laporan Pelan Pembangunan Pengurusan Sisa Makanan bagi Sektor Industri (2016-2026), Pengurusan Sisa Pepejal dan Perbadanan Pembersihan Awam menyatakan sektor isi rumah menghasilkan kira-kira 44.5 peratus sisa makanan, manakala Perindustrian, Perdagangan dan Institusi pula sebanyak 31.4 peratus. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha dalam satu kenyataan menegaskan 3,330 tan sisa makanan yang dibuang setiap hari sepatutnya boleh dielakkan jika masyarakat bijak mengurus dan mengurangkan sisa makanan mereka.


Pembelian panik merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya pembaziran makanan. Pembelian barangan keperluan asas melebihi keperluan harian misalnya roti putih, ban, makanan segera dan sebagainya yang mudah rosak atau hampir dengan tarikh luput menyebabkan barangan tersebut dibuang begitu sahaja tanpa terusik selepas melebihi tempoh luputnya. Oleh hal yang demikian, ia menjadi satu pembaziran dan kerugian kerana barangan keperluan asas tersebut besar kemungkinan boleh mengisi perut sebuah keluarga berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan. Sikap tamak dan sombong segelintir masyarakat ini merupakan salah satu ‘wabak’ yang sewajarnya dikekang bagi mengelakkan ia terus menular dalam kalangan masyarakat.


Menurut laporan akhbar tempatan, Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Azrina Sobian berkata, penyumbang terbesar adalah isi rumah atau keluarga keseluruhan 16,650 tan pembuangan sisa makanan di negara ini setiap hari. Jelas beliau, keluarga menghasilkan sisa makanan paling tinggi 38 peratus berbanding pasar basah (24 peratus), restoran (23 peratus) atau hotel (tujuh peratus). Azrina turut menambah, secara purata sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang membazirkan hampir satu kilogram makanan setiap hari. Oleh hal yang demikian, masalah pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat negara ini perlu diberikan perhatian serius, sebelum sifat membazir semakin sebati dalam diri setiap individu, termasuk generasi muda.


Kesihatan dipertaruhkan demi sebungkus roti putih

“Boleh dikatakan hampir setiap hari bekalan roti Gardenia habis dan tidak cukup bagi menampung keperluan masyarakat di sini. Ada satu ketika, belum sempat roti disusun atas rak, orang ramai sudah mula berebut-rebut mendapatkan roti dari atas lori lagi. Situasi luar biasa itu dapat dilihat apabila orang ramai berpusu-pusu mendapatkan roti putih Gardenia dalam kuantiti yang banyak. Sehinggakan saya sendiri sukar mendapatkan bekalan roti tersebut. Jelas keadaan seperti itu akan meningkatkan lagi risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti”, ujar Muhammad Zabidi, penduduk setempat.


Situasi ini jelas mengambarkan keadaan kelam-kabut yang berlaku ketika masyarakat mula melakukan pembelian panik bagi menghadapi tempoh PKP. Pembelian panik tidak sewajarnya dipraktikan kerana ia jelas menyumbang kepada pelbagai masalah terhadap ketidakseimbangan ekonomi rakyat di negara ini. Pada masa yang sama, pembelian panik juga turut memberi kesan kepada kesihatan masyarakat. Hal ini demikian kerana pembelian panik boleh meningkatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam komuniti setempat. Keadaan di mana orang ramai bersesak-sesak dan tidak terkawal di dalam satu kawasan yang tertutup bakal mendedahkan masyarakat kepada penularan wabak Covid-19 dengan lebih mudah.


Ketiadaan penjarakan fizikal dan sentuhan langsung yang mungkin berlaku menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada tercetusnya kluster-kluster baharu di seluruh negara. Oleh hal yang demikian, pembelian panik bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara malah turut akan memberi kesan kepada kesihatan rakyat. Banyak kesan negatif daripada pembelian panik ini jika direnungkan kembali sedalam-dalamnya. Walau bagaimanapun, keputusan terletak di tangan kita sebagai rakyat Malaysia dalam menguruskan perbelanjaan kita ketika dalam musim pandemik ini.

Commentaires


Jom Langgani WARONG

Thanks for submitting!

©2020 oleh WARONG. Dipersembahkan oleh Wix.com

bottom of page