Secangkir Kopi Seribu Satu Cerita
- aiman ms
- Jan 8, 2021
- 3 min read
Updated: Jan 19, 2021

Bercakap soal kopi sudah pasti ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang gemar menjadikan kopi sebagai sebagai minum pagi ketika bersarapan di restoran mamak atau sebagai minum petang ketika bermesyuarat di pejabat. Ada di antara kita yang gemarkan kopi ais dan ada pula yang gemarkan kopi tarik yang manis memikat. Kepelbagaian jenis hidangan kopi ini bukanlah penghalang untuk menyatukan pecinta kopi. Sebaliknya, kenikmatan kopi ini dinikmati bersama oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini. Walau bagaimanapun, kita sedar atau tidak, kopi yang selalu diminum hampir setiap hari ini adalah dua jenis kopi yang berbeza. Ikuti perkongsian daripada Hanif Mohd Zaki salah seorang pecinta kopi dan juga pemilik Vista Burger di Shah Alam.
“Bentuk biji kopi Arabica lebih kepada berbentuk bujur dan saiznya adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan biji kopi Robusta yang lebih kecil dan berbentuk bulat. Rasa kopi Arabica adalah lebih manis, halus dan mempunyai rasa seakan-akan rasa buah atau beri. Rasa kopi Robusta pula adalah lebih keras, kasar, lebih pahit dan rasanya seakan-akan bau tanah”, jelas Hanif.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh International Coffee Organization, kopi jenis Arabica menguasai hampir 70 peratus pasaran dunia dan baki hanya 30 peratus sahaja kopi jenis Robusta yang mendapat tempat dalam pasaran. Dalam dunia perdagangan, biji kopi merupakan barang makanan yang paling tinggi didagangkan di seluruh pasaran dunia. Untung bukan jadi pengusaha biji kopi? Melihat dari sudut penanaman dan penumbuhannya pula, biji kopi Arabica perlu ditanam diketinggian yang lebih tinggi kira-kira 600m hingga 2000m jika hendak dibandingkan dengan biji kopi Robusta iaitu kira-kira 0m hingga 600m sahaja.
“Biji kopi jenis Arabica ini lebih terdedah kepada serangan serangga perosak berbanding biji kopi Robusta yang lebih tahan daripada serangan serangga. Biji kopi Arabica ini lebih “manja” dan memerlukan perhatian serta penjagaan yang rapi. Jika hendak dibandingkan hasil pengeluaran kedua-dua jenis biji kopi ini, hasil biji kopi Arabica adalah sedikit berbanding dengan hasil pengeluaran biji kopi Robusta disebabkan serangan serangga perosak yang merosakkan biji kopi hampir setiap tahun”.
“Secara puratanya, biji kopi Arabica mempunyai kira-kira 1.5 peratus kafein berbanding dengan 3.0 peratus kafein dalam setiap biji kopi Robusta. Jadi, jika sesiapa yang mempunyai anxiety dan masih hendak minum kopi, saya syorkan minum kopi Arabica atau lebih baik, minum decaf coffee iaitu biji kopi tanpa kafein. Namun, saya cadangkan untuk rujuk dengan pakar kesihatan terlebih dahulu untuk dapatkan nasihat kesihatan sebelum mengambil sebarang bentuk minuman berasaskan kafein”, tambah Hanif lagi.
Setiap syarikat kopi gergasi di dunia mempunyai cara tersendiri untuk memanggang biji kopi mereka. Antara cara panggang yang paling popular adalah Dark Roast, Medium Roast dan Light Roast. Setiap peringkat pemanggangan mempunyai rasa, aroma dan baunya yang tersendiri bergantung kepada citarasa masing-masing. Namun, secara peribadi, Hanif menyatakan bahawa dia lebih gemar akan cara pangganggan kopi Dark Roast dan Medium Roast.
“Sepanjang sejarah sejak kopi ditemui, kita mempunyai pelbagai cara untuk brew atau membancuh kopi mengikut citarasa masing-masing. Antara kaedah membancuh kopi yang cukup terkenal dan sering digunakan termasuklah pressure, stepping, filteration dan boiling. Setiap cara membancuh kopi ini juga akan memberikan rasa serta aroma yang berbeza. Jika hendak berbicara lebih lanjut mengenai cara brew atau membancuh kopi ini memang agak panjang”, ujar pemilik Vista Burger tersebut.

Seterusnya, kopi kampung atau juga dikenali sebagai kopi o sudah pasti sangat sinonim dengan masyarakat di negara kita. Secara peribadi Hanif kurang gemar kopi kampung kerana terdapat rasa hangit daripada gula dan majerin yang dipanggang bersama biji kopi. Cara menghasilkan kopi kampung ini agak mudah tetapi mengambil masa yang lama. Biji kopi dipetik dan ditumbuk bagi mendapatkan isi daripada biji kopi tersebut. Kemudian, biji kopi dipanggang di atas kuali menggunakan kayu api untuk mendapatkan aromanya sehingga biji kopi tersebut bertukar menjadi warna hitam.
Gula dimasak sehingga menjadi karamel dan biji kopi dicampurkan ke dalam gula yang telah dimasak sebentar tadi. Bahan-bahan tersebut dikacau sehingga sebati dan bahagian ini boleh dikatakan agak leceh kerana biji kopi mula mengeras dan tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana khuatir gula akan menjadi terlalu hangit. Madu ditambah sebagai perasa tambahan dan campuran tadi disimpan untuk tempoh 24 jam. Biji kopi tadi kemudian ditumbuk sehingga hancur menggunakan lesung batu khas atau dengan menggunakan grinder. Rasa kopi kampung ini sangat pahit dan pekat, tetapi cukup digemari masyarakat di negara ini.
Sebagai konklusinya, biji kopi Arabica mempunyai kualiti yang paling tinggi dan sangat sedap untuk dinikmati berbanding kopi lain terutamanya bagi pecinta kopi. Kopi yang terbaik adalah kopi yang diminum tanpa gula. Hal ini demikian kerana gula proses merupakan salah satu punca utama kepada segala penyakit. Cara brew juga memainkan peranan yang cukup penting bagi menaikkan aroma dan bau kopi tersebut. Jadi, kepada semua pecinta kopi, mungkin sekarang lebih tahu jenis kopi yang anda minum. Nikmatilah!
Kommentare