top of page

Covid-19 beri pengalaman berharga buat penghantar makanan

Tugas sebagai penghantar makanan bukanlah satu tugas yang mudah lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 mula melanda seluruh negara sejak Mac tahun lalu. Muhamad Izzat Rizal merupakan salah seorang GrabFood Rider yang berumur 26 tahun telah berkecimpung dalam industri penghantaran makanan ini sejak November 2019.


Pemuda yang berasal dari Pendang, Kedah ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Malaysia Perlis. Dia yang telah berkahwin dan kini menetap di Skudai, Johor bersama keluarganya. Pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuh sepanjang bergelar penghantar makanan ini dikongsikan Izzat bersama WARONG.


“Sebelum pengambilan Beg Grab, saya perlu melalui beberapa fasa seperti mengisi borang, melakukan suntikan Typhoid, menyerahkan salinan kad pengenalan dan juga roadtax motosikal serta beberapa dokumen mengenai motosikal. Selepas selesai menyerahkan semua dokumen, saya perlu menunggu hampir sebulan untuk mengetahui status kelulusan saya untuk menyertai GrabFood Rider ini. Alhamdulillah dengan izin Allah, urusan saya dipermudahkan dan saya diminta oleh staf di HQ Grab untuk mengambil Bag Grab dan boleh memulakan tugas,” jelas Izzat ketika mengimbau semula permulaan perjalanannya sebagai penghantar makanan.


Menurut Izzat, dia melakukan Grab Food di sekitar area Klang Valley, Kuala Lumpur dan Selangor serta sentiasa berada di kawasan "hotspot" misalnya di pusat membeli-belah dan kawasan elit untuk memudahkan dia menerima pesanan.


“Pendapatan sebelum dan semasa Covid secara purata boleh dikatakan sama sahaja, cuma pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendapatan saya sedikit meningkat, kemungkinan juga disebabkan arahan daripada kerajaan yang meminta semua orang berada di rumah,” ujarnya.

Menurut Izzat, semasa pelaksanaan PKP juga jadual bekerja juga berubah, bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.


“Ini merupakan satu pengalaman yang berharga dan berharap tidak akan berulang lagi,” tambahnya.

Izzat turut menceritakan keadaan ketika PKP dilaksanakan. “Jalan raya tidak sesak, pusat beli-belah dan restoran juga tak ramai orang. Sistem pengambilan makanan di pusat beli-belah juga berubah berbanding sebelum PKP dan memudahkan saya dan semua Grab Rider,” katanya.


“Cabaran sebagai Grab Rider semasa pandemik Covid19 tidaklah terlalu besar, cuma saya dan Grab Rider yang lain perlu lebih peka dengan SOP, melakukan sanitasi, memakai pelitup muka sepanjang masa dan sentiasa memastikan diri bebas daripada virus ini,” tambahnya lagi.


Izzat menekankan bahawa mereka sebagai rider sering berada di luar rumah, di tengah bandar, jadi kebarangkalian mereka untuk mudah terdedah adalah sangat tinggi. Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) itu sangat dititikberatkan dan bila pulang ke rumah, perlu terus mandi dan bersihkan badan, kemudian barulah boleh luangkan masa bersama keluarga.


Menurut Izzat, sedikit kekecewaan kepada para rider apabila syarikat Grab turut melibatkan penghantaran makanan menggunakan kereta. Ini menyebabkan persaingan untuk mendapat pesanan semakin banyak dan secara tidak langsung menjejaskan pendapatan penghantar makanan yang menggunakan motosikal.


“Cabaran yang lain yang dihadapi seperti isu dengan pelanggan, bag Grab hilang, makanan pelanggan dicuri, itu perkara biasa, namun tidak berlaku dengan kerap sebab hanya beberapa individu sahaja yang bersikap tidak bertanggungjawab ini. Ini yang saya dengar keluhan daripada rakan-rakan Grab Rider yang lain,” tambahnya.


“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana rakyat Malaysia sangat prihatin, bertoleransi dan menghargai kami semua Grab Food Rider. Terima kasih mengiktiraf kami sebagai petugas barisan hadapan walaupun kami hanya penghantar makanan sahaja. Tanggungjawab dan amanah yang kami dapat, akan kami laksanakan sebaik mungkin,” kata Izzat.


“Saya nak ucapkan terima kasih kepada saudari Zati memberi peluang kepada saya untuk kongsikan pengalaman saya sebagai seorang Grab Rider. Saya juga mewakili seluruh Grab Rider memohon ampun dan maaf jika ada kekurangan atau kekhilafan daripada kami semasa bertugas. Terima kasih rakyat Malaysia yang percaya dengan perkhidmatan Grab Food. Semoga pandemik Covid19 ini cepat tamat di bumi ini dan kita akan hidup lebih tenang dan damai dan paling penting boleh order makanan melalui aplikasi Grab,” tambahnya lagi.


Berpegang kepada prinsip "Rezeki Tidak Datang Bergolek, Tayar Motor Kena Golek Dulu", Izzat tekad meneruskan perjuangannya dalam bidang penghantaran makanan ini. Izzat turut menyatakan bahawa dia sering mengingatkan diri agar tidak mudah mengalah, teruskan perjuangan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Comments


Jom Langgani WARONG

Thanks for submitting!

©2020 oleh WARONG. Dipersembahkan oleh Wix.com

bottom of page