top of page

Macam Mana Penggambaran Fotografi Makanan Dilakukan?

Dunia fotografi ini luas cabangnya dan forografi makanan adalah sebahagian daripadanya. Pernah tak anda terfikir yang bagaimana fotografi makanan diuruskan?


Seperti melakukan penggambaran fotografi yang lain, seorang jurufoto makanan turut melakukan perancangan yang teliti. Perkara yang perlu dilakukan adalah perbincangan dengan klien serta perancangan yang rapi supaya semuanya lancar.


Menurut jurufoto makanan, Shah Affendy, 32, perbincangan perlu dilakukan dengan klien untuk menentukan bagaimana corak persembahan yang akan dihasilkan di dalam gambar. Perkara yang dibincangkan lazimnya adalah mengenai cara gambar itu diambil serta mood foto tersebut. Shah turut mengatakan yang perbincangan mengenai latar belakang dan juga prop turut diadakan bersama klien.


Perbincangan ini lazimnya tiada masalah bagi klien yang faham mengenai fotografi makanan serta tahu apa yang mereka mahukan untuk produk akhir gambar tersebut. Namun, kesukaran akan muncul apabila pihak klien hadir dengan tangan kosong dan hanya berkata mereka mahu makanan mereka diambil oleh jurufoto.



GAMBAR: Shah Affendy

“Ada masanya, klien sendiri tidak tahu apa yang mereka mahukan dalam gambar tersebut. Jadi saya perlu berikan beberapa idea bagaimana gambar makanan tersebut dihasilkan dan yakinkan mereka yang idea atau tema yang digunakan sesuai bagi mereka,” kata Shah.


Selepas melakukan perbincangan bersama klien, kini tiba masa untuk seorang jurufoto melakukan persiapan menjelang sesi penggambaran. Bagi Shah, beberapa perkara perlu persediaan yang baik seperti kamera, pencahayaan, prop, tirai belakang (backdrop), penggayaan makanan (food stylish) dan suntingan (editing).


Kamera adalah ‘senjata’ utama dalam penggambaran termasuklah lensa yang digunakan. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, kombinasi antara lensa dan tetapan (setting) kamera amat penting.


“Lazimnya jurufoto makanan menggunakan lensa makro kerana ianya boleh mendapatkan details yang tinggi. Untuk tetapan pula, ianya bergantung kepada jurufoto tetapi selalunya mereka akan gunakan tetapan yang paling rendah iaitu ISO100,” Shah memberitahu.


Teknik pencahayaan amat penting dalam fotografi. Ianya perlu selari dengan tema untuk penggambaran tersebut supaya hasil terbaik boleh diperoleh. Akan tetapi, ianya juga bergantung kepada jurufoto itu sendiri kerana ada diantara mereka yang mempunyai identiti tersendiri dalam teknik pencahayaan mereka.


Selain itu, untuk memastikan hasil kerja yang maksima penggunaan prop serta tirai belakang juga memainkan peranan mereka. Prop bertindak sebagai penambah seri kepada subjek utama di dalam gambar.


“Kita ambil contoh penggambaran untuk burger, bahan-bahan yang menjadi elemen kepada pembuatan burger boleh dijadikan prop seperti bawang, cili atau juga kentang goreng yang selalu menjadi pasangan kepada burger,” terang Shah.


Tambah Shah lagi, pemilihan tirai belakang adalah bergantung kepada tema makanan itu sendiri. Lazimnya, ianya akan dibincang dengan klien terlebih dahulu.


Penggayaan makanan turut mainkan peranan


Salah satu elemen penting dalam penggambaran sebuah makanan adalah pengayaan makanan. Penggayaan makanan ini akan membuatkan makanan yang dipersembahkan akan menjadi lebih berkuasa dalam memberikan kesan kepada mereka yang melihat gambar tersebut.


Kata Shah, pengayaan makanan ini lazimnya akan dilakukan oleh penggaya makanan yang terlatih. Akan tetapi, jika tiada penggaya makanan di set penggambaran maka ia menjadi tugas jurufoto untuk melakukannya.


“Kalau nak tangkap gambar sebuah burger, apa yang boleh dibuat adalah menyusun dengan kemas setiap lapisan burger itu agar ianya nampak menarik apabila ditangkap gambarnya,” jawab Shah.




GAMBAR: Shah Affendy

Shah juga mengatakan yang setiap makanan yang menjadi subjek untuk sesebuah penggambaran tidaklah dimasak sepenuhnya sebaliknya hanya separuh masak sahaja. Alasannya kerana tidak mahu makanan tersebut kelihatan lembik dan layu apabila di hadapan kamera.


Selepas penggambaran dilakukan, jurufoto akan melakukan tugasan suntingan sebelum produk akhir terhasil. Suntingan ini akan dilakakukan mengikut tema yang dipersetuju bersama-sama klien. Lazimnya, elemen saturation dan juga contrast akan dinaikkan untuk menaikkan warna makanan di dalam gambar.


KREDIT GAMBAR: Shah Affendy

Comments


Jom Langgani WARONG

Thanks for submitting!

©2020 oleh WARONG. Dipersembahkan oleh Wix.com

bottom of page