Kenapa Bisnes F&B Bukan Bisnes Untuk Buat 'Fast Cash'
- warongmy
- Jan 19, 2021
- 4 min read
Jika ada satu perkara positif tentang wabak COVID-19, ia adalah peningkatan kemeriahan bisnes makanan dan minuman (F&B). Secara tiba-tiba, kita nampak ramai kawan-kawan kita menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Ianya bagus untuk ekosistem industri F&B. Peniaga dapat menambah pendapatan. Pekerja dapat terus bekerja. Penghantar makanan dapat banyak pesanan penghantaran. Pelanggan pula dapat banyak pilihan. Semua orang menang.
Sebagai salah satu cabang bisnes yang kalis kemelesetan ekonomi, F&B sememangnya menjadi pilihan popular ramai orang - terutamanya yang baru berjinak-jinak - untuk mula berniaga. Tetapi malangnya, lambakan peniaga F&B baru ini hanya menguatkan pendapat saya iaitu: tak semua orang patut buat bisnes F&B.
Saya cukup tak gemar bila ada orang kata, “Bisnes F&B adalah bisnes fast cash.” Saya jadi lagi tak gemar bila orang sama juga kata, “Bisnes F&B boleh jadikan kita cepat kaya.”
Kerana semua kata-kata mereka itu salah, tak bertanggungjawab dan maha menyesatkan.
Apa masalah pelanggan?
Dalam bisnes, asas utamanya adalah peniaga kena menyelesaikan masalah pelanggan. Selain menyelesaikan masalah pelanggan, peniaga juga kena tambah nilai (values) di produk mereka.
Contohnya, katakan kita nak jual pop corn. Sebelum kita menghabiskan ratusan ribuan duit kita sendiri untuk menjadi ejen pengedar pop corn, kita kena tanya diri sendiri: apa masalah pelanggan yang kita cuba selesaikan dengan pop corn tersebut?
Jika kita nampak kesukaran orang Melaka (katakan kita duduk di Melaka) untuk mendapatkan pop corn tersebut, bermakna kita berpotensi menyelesaikan masalah pelanggan di Melaka. Silakan jual pop corn tersebut. Sebelum jual apa-apa, pastikan kita kenal siapa sasaran pelanggan kita dahulu. Kenalpasti apa masalah mereka. Selesaikan masalah mereka dengan produk kita, saya jamin perniagaan kita akan menjadi maju.

Kemudian, kita kena tengok apa nilai yang pop corn kita tawarkan? Bila saya bercakap tentang nilai, saya tak cakap fasal harga murah sahaja. Ini kerana apabila kita hanya tawarkan harga murah sebagai nilai untuk menarik pelanggan, kita takkan bertahan lama. Harga murah juga bermakna margin keuntungan kita kecil. Margin keuntungan kecil bermakna kita bekerja berjam-jam untuk pulangan pendapatan yang kecil. Pulangan pendapatan yang kecil akan membawa ke masalah kedua iaitu…
Tiada konsistensi dalam servis dan produk
Satu masalah utama, yang bagi saya, semakin membarah dalam industri F&B tempatan adalah ketiadaan konsistensi dalam servis dan produk.
Saya sudah beritahu sebelum ini apabila kita hanya menawarkan harga murah sebagai nilai utama produk F&B, kita takkan bertahan lama. Harga murah hanya akan membuatkan kita (lama-lama) akan jadi letih dan tak konsisten dalam perniagaan.
Bila letih, kita akan berhenti berniaga apabila mendapat peluang pekerjaan baru yang lebih berbaloi pulangannya. Dan yang paling berbahaya adalah, bila kita letih, kita akan mula berkompromi dengan kualiti bahan mentah dan servis kita. Saat kita mula berkompromi dengan kualitilah, saat kualiti dan servis kita akan menjadi tak konsisten. Apabila kita mula tak konsisten, ketika itulah perniagaan F&B kita akan merudum.
Melainkan anda mempunyai sumber pendapatan lain dan memang berniaga F&B untuk beramal, saya tak galakkan anda jadikan harga murah sebagai nilai utama produk anda. Melainkan anda mempunyai modal besar dan berkeupayaan menghasilkan produk F&B dalam skala kilang, saya tak galakkan anda jual murah untuk tarik pelanggan.
Apa nilai produk anda?
Dalam perniagaan, ada banyak benda anda boleh jadikan sebagai nilai produk. Bahan mentah berkualiti? Itu nilai. Cara pembuatan yang teliti? Itu nilai. Penghantaran percuma? Itu pun nilai.
Bagi saya perniagaan F&B ini sama macam main bola sepak. It is so hard to play easy. Mana-mana pemain bola sepak akan bersetuju - nak main bola sepak cara senang seperti Ajax Amsterdam era 70-an dan Barcelona era 2008-2012 sangatlah susah. Ia memerlukan dedikasi, kepercayaan, keazaman dan sikap yang betul untuk berjaya.
Begitu juga dengan perniagaan F&B. Asas kejayaannya mudah sahaja: produk berkualiti dan servis terbaik. Tapi nak konsisten menghasilkan makanan dan minuman yang sedap, berkualiti dan bersih serta servis terbaik - ia sangatlah susah.
Maksud saya, sanggupkah anda bangun pagi pukul 5 pagi setiap hari untuk mendapatkan ikan paling berkualiti di pasar? Atau adakah anda akan pilih jalan senang dengan membeli ikan sejuk beku?
Sanggupkah anda pergi ke pasar setiap hari untuk membeli sayur segar? Atau adakah anda akan beli sayur banyak-banyak dan simpan dalam chiller selama seminggu walaupun sayur tersebut dah mula hilang kesegaran dan nutriennya selepas 24 jam?
Sanggupkah anda kekal berpegang dengan standard produk pada hari pertama selepas 5 tahun berniaga? Atau adakah anda akan mula cari shortcut selepas dapat ramai pelanggan dan sibuk?
Sebab itulah saya kata - bisnes F&B bukan bisnes untuk buat fast cash.
Bisnes F&B bukan bisnes untuk semua
Bisnes F&B bukan bisnes untuk jadi cepat kaya. Bisnes F&B bukan bisnes untuk jadi terkenal. Bisnes F&B bukan bisnes untuk ikut trend.
Bisnes F&B adalah bisnes untuk orang yang betul-betul ghairah dengan kualiti berbanding duit. Bisnes F&B adalah bisnes untuk orang yang masih jumpa rasa seronok walaupun letih bergelumang di dapur. Bisnes F&B adalah bisnes untuk orang yang tersenyum lebar bila melihat pelanggan menikmati produknya, bukannya bila tengah kira duit.

Ada banyak lagi cabang bisnes lain yang sesuai untuk orang yang tak suka membanting tulang tapi nak keuntungan yang berlipat ganda. Contohnya affiliate marketing. Jual e-book atau video sahaja, anda boleh buat duit dengan hanya duduk di depan laptop. Asalkan e-book dan video anda boleh menyelesaikan masalah orang.
Jadi kalau anda ada impian nak buka restoran, kafe, warung, gerai atau berniaga F&B dari rumah sekali pun, tanya diri anda semula: adakah anda buat bisnes tersebut untuk jadi cepat kaya? Atau adakah anda buat kerana anda betul-betul ghairah dengan kualiti makanan dan minuman?
Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Ahmad Muzammil yang sudah berkecimpung dalam perniagaan makanan dan minuman pada usia mudanya.
Kredit gambar: Iluminasi
Comments